Salam pembuka bicara.
“Bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah”
Secara sedar atau tidak kita telah pun melangkah ke tahun yang ketiga pengajian sebagai seorang mahasiswa-mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris. Perjalanan yang cukup panjang namun dirasakan begitu singkat dilalui.
Teringat saya ketika pertama kali menjejakkan kaki di Universiti. Kagum. Bagaikan tidak percaya menjadi seorang mahasiswa. Ini kerana bukan semua orang diberikan peluang oleh sang Pencipta untuk mendapat kebahagian tersebut.
Pengalaman seminggu semasa Minggu suaikenal masih dalam ingatan saya. Bila berhadapan dengan pelajar baru ambilan disember 2008/2009, saya seolah-olah turut berada dalam diri mereka. Melalui pengalaman ketika menjejakkan kaki di menara gading. Megah. Namun itu kisah lama.
Masa sememangnya tidak akan menunggu kita. Jauh sekali untuk berhenti walaupun sesaat. Katanya ia sangat berharga. Benar. Itulah yang dilalui oleh kita semua. Saya cuba menilai semula segala perjalanan kisah hidup sepanjang di sini. Hanya tinggal 3 semester sebelum praktikum menanti. Apakah yang dapat dilakukan dengan masa sesingkat ini?
Cuma satu yang bermain difikiran saya pada ketika itu. Belajar bersungguh demi memenuhi hasrat keluarga tercinta. Namun pada masa yang sama saya terfikir. Adakah hanya dengan masa yang berbaki ini dihabiskan dengan mentelaah pelajaran sahaja?
Berfikir seketika. Saya teringat dengan kata-kata mantan Yang diPertua saya ketika di KHAR.
Belajar sahaja tidak cukup untuk menjadikan kita seorang guru yang berjaya. Apa yang lebih penting adalah pengalaman yang dilalui dalam kita mencari ilmu untuk belajar.Katanya cukup mudah. Namun cukup bererti. Pengalaman menyertai aktiviti, program dan persatuan memberikan pengalaman yang cukup bermakna dalam menjadikan seorang bakal guru yang serba boleh. Tidak hanya tahu untuk memberikan ilmu bahkan mahir dalam pelaksanaan pentadbiran sesuatu program.
Kita tinggalkan seketika mengenai hal tersebut. Ini kerana apa yang saya ingin sampaikan jauh lebih penting lagi. Ianya mengenai semangat kebersamaan. Kebersamaan yang saya maksudkan ialah keinginan untuk bersama-sama dalam aktiviti yang dianjurkan. Saya focuskan kepada aktiviti yang dilaksanakan di bawah persatuan ”underground” kita. Seharusnya kita ada perasaan untuk mencipta kenangan bersama teman-teman. Saya terlihat betapa pentingnya semangat ini. Sungguh.
Ini kerana perjalanan kita di sini cukup pendek pada perkiraan saya. Kenangan hanya akan dirasai sendiri. Bukan dibeli. Kenangan bersama teman-teman itulah yang akan dirindui tika melangkah di alam pekerjaan. Semua itu tidak akan dapat dicari lagi. Hargai masa-masa yang ada untuk kita bersama-sama mencipta nostalgia. Kerana saya percaya suatu masa nanti saat itulah yang paling di kenang kelak. Hargai apa yang kita lalui bersama.
Sekian.
Persahabatan yang tiada tandingan.
Wasalam.